Friday, October 8, 2010

Alahai Kedai Makan...

Alkisahnya,,malam tadi aku dengan kawan-kawan umah pergi makan dekat sebuah kedai makan V yang berhadapan Giant area rumah kami. Setelah penat berkaraoke di dalam Giant dan hampir semua kedai makan dalam Giant dah nak tutup, kami bersetuju untuk makan di kedai makan yang bertentangan. Lagipun, perutku memang lapar sebab dari tengah hari aku tak makan konon-kononnya nak diet...huhu.
First, kami masuk kedai yang sebelum nie konsep masakan melayu tapi dah ditukar kepada konsep Arabic. Masa kami nak masuk, nampak macam diorang sedang berkemas-kemas dah. Tapi kitorang still masuk gak sebab saja nak test. Tapi kebanyakan makanan dah habis even roti arab yang aku nak pesan pun dah abis yang tinggal cuma nasi yang aku dah lupa nama dengan burung puyuh je..aku pandang kawan aku dan dia pun pandang aku. Pastu kitorang terus cakap, 'dah nak tutupkan? Kalau nak tutup xpelah, kitorang x jadi la..'. Padahal, nak lari sebab makanan yang ada tak menepati citarasa.
Then, kami pergi ke kedai sebelah yang berkonsepkan Ala Thai. Entry ku adalah berkisahkan kedai Ala Thai yang kunamakan Kedai V. Sebelum nie kami dah pernah makan kat sini. Lagipun Kedai V nie banyak cawangannya. Kedai yang berhadapan Giant nie cawangan yang agak baru la. Nak dijadikan cerita, kami pun orderlah makanan kat situ. Tapi, yang membuatkan mata menjadi semak ialah banyak betul tisu-tisu yang bertaburan kat lantai baik kat dalam maupun kat luar. Macam dilanda taufan tisu dah rupanya. First kami duduk, aku ngan kawan aku cakap kat mamat yang datang ambik order,'asal tisu banyak kat lantai nie?'. Dia buat-buat tengok kat bawah, konon-konon tak perasan la sebelum tu kot..erm..
Actually, nie bukan first time aku tengok tisu-tisu yang berlambak kat lantai. Sebelum aku makan dengan kawan aku malam tadi, aku ada beli jugak masa aku nak ke Pusat Tuisyen tapi aku just tapau. Masa aku duduk menunggu order, aku nampak sendiri pekerja Kedai Makan V buang tisu camtu je lepas lepas lap tangan dia. Teruk betul..nak je aku pergi sound kat dia tapi dia masuk ke dalam pulak. Lagi satu yang aku rasa tak patut ialah mengapa ashtray tak pulak disediakan di atas setiap meja? Banyak puntung-puntung rokok yang bersepah di atas lantai.
Aku tak salahkan pelanggan yang membuangnya..yelah, mungkin diorang yang merokok pun tak tau nak buang kat mana puntung-puntung rokok tu. Takkan nak buang dalam pinggan or mangkuk pulak kan? So, mengambil jalan mudah, puntung-puntung tu dibuang ke atas lantai.
Seharusnya, pemilik dan pekerja-pekerjanyalah yang harus peka dalam hal nie. Dah tau pelanggan yang datang pasti ada yang merokok, sediakanlah ashtray untuk kemudahan pelanggan. Benda-benda yang asas pun tak prihatin, inikan pula benda yang lain. Harapkan pekerja je yang ramai tapi langsung tak peka terhadap kebersihan kedai. Masakan kedai nie memang sedap tapi jangan disebabkan mutu kebersihan kedai ramai pelanggan akan lari suatu hari nanti.
p/s; Tolonglah prihatin akan kebersihan kedai kepada pengusaha-pengusaha kedai makan ataupun restoran..

Wednesday, September 22, 2010

Ke Mana Hilangnya Nilai Keperimanusiaan?



Manusia sekarang sudah terhakis nilai kemanusiaan dalam diri. Mana taknya, sejak kebelakangan ini semakin banyak kes-kes jenayah yang dilaporkan di dada-dada akhbar. Dan jenayah kejam yang paling terkini ialah pembunuhan jutawan kosmetik terkenal iaitu Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu yang lain. Berdasarkan kes tersebut juga menghubungkan pihak berkuasa kepada kes-kes yang terdahulu yang berhubungkait dengan penjenayah yang sama. Ini hanya segelintir daripada kes-kes yang membabitkan pembunuhan kejam di negara kita. Mengapa masih ada manusia-manusia kejam dalam negara Malaysia yang yang aman damai ini?

Apa nak jadi dengan dunia sekarang? Pembunuh tersebut bukanlah calang-calang orang. Orang yang menjadi dalang adalah seorang peguam! Secara otomatik menjelaskan bahawa pembunuh tersebut adalah seorang yang berpelajaran tinggi serta dari golongan terpelajar. Tapi mengapa mereka terlibat dalam jenayah yang kejam seperti itu?

Merujuk kepada artikel dalam Harian Metro bertarikh 24hb September 2010 di mana Penasihat Psikiatri Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur iaitu Dr Daniel Zainal Abdul Rahman menghuraikan punca si bijak pandai menjadi pembunuh. Antara puncanya ialah disebabkan oleh kecelaruan personaliti yang lebih dikenali sebagai psikopatik ataupun sosiopatik.

Biasanya golongan psikopatik atau sosiopatik lebih banyak memanipulasi orang di sekeliling mereka untuk melakukan jenayah bagi pihak mereka serta cekap dalam penipuan. Dalam erti kata lain, mereka menjadi dalang atau 'mastermind' dalam sesebuah jenayah. Dengan perwatakan yang menarik serta pandai dalam percakapan menjadikan golongan ini mudah mendapat kepercayaan orang. Secara tidak langsung, memudahkan mereka untuk mempergunakan orang disekeliling mereka yang telah mempercayai bahawa mereka orang yang baik.

Menurut Penasihat Psikiatri tersebut juga menyatakan terdapat dua faktor utama yang mendorong golongan tersebut melakukan jenayah iaitu faktor genetik dan juga alam sekeliling. Ini disebabkan oleh otak yang dimiliki oleh golongan psikopatik atau sosiopatik berbeza dengan otak orang normal kerana jumlah bahan kimia yang mengawal mental, emosi dan riak pergerakan tidak seimbang. Oleh yang demikian, disebabkan kerosakan pada struktur fizikal urat saraf mereka serta ditambah dengan keadaan alam sekeliling contohnya sering terdedah dengan keganasan di dalam keluarga seperti melihat ayah yang sering melakukan keganasan terhadap ibu mereka sehingga membawa ke alam dewasa. Jadi golongan begini berpendapat keganasan terhadap wanita adalah perkara yang biasa.

Inilah antara punca-punca yang menyebabkan berlakunya jenayah-jenayah kejam seperti yang berlaku akhir-akhir ini yang kebanyakan melibatkan si bijak. Sebenarnya, fenomena jenayah kejam boleh kita bendung sedikit sebanyak. Antaranya ialah bermula dari institusi kekeluargaan sendiri di mana ianya haruslah utuh serta harmoni. Para ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak ke arah menjadi insan yang sihat fizikal serta emosinya lebih-lebih lagi. Kasih-sayang serta didikan agama yang mencukupi perlulah dipupuk di dalam keluarga agar anak-anak yang membesar menjadi insan yang kebal dari anasir-anasir yang boleh menjatuhkan mereka di masa hadapan.

Selain itu, faktor luaran juga memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah diri kita terutamanya golongan kanak-kanak dan remaja yang sedang membesar. Cerita-cerita yang memaparkan jenayah-jenayah ekstrem di kaca televisyen perlulah dikurangkan serta ditapis oleh pihak berwajib. Penggiat-penggiat industri perfileman haruslah peka terhadap kesan sampingan daripada filem-filem serta drama-drama mereka. Ini kerana, golongan yang sedang membesar mudah terpengaruh dengan cerita-cerita yang dipaparkan. Seeloknya, cerita-cerita yang membabitkan jenayah-jenayah ekstrem haruslah dikurangkan.

Ini secara tidak langsung dapat melahirkan individu yang mepunyai fikiran yang sihat serta seimbang dalam percaturan mereka. Sedikit-sebanyak dapat membantu mengurangkan kadar jenayah yang melibatkan kecelaruan emosi serta identiti.

p/s: Jadikan institusi keluarga yang utuh sebagai titik permulaan sebuah kehidupan serta untuk membangunkan jati diri insan supaya lebih berjiwa sihat.

Mengapa Anak-Anak Diabaikan??

Assalamualaikum untuk diriku dan sesiapa yang sudi melawat blogku yang tak seberapa ini. Sekadar ingin berkongsi cerita tentang student tuisyenku. Alkisahnya..malam tadi aku ada kelas Bahasa Melayu dengan studentku, standard 4 dan 5.
Sekadar membuka bicara aku bertanyakan khabar kepada 2 orang student lelaki yang datang awal. Aku memulakan bicara bertanya pada pada studentku yang kunamakan sebagai 'N'. N memberitahu dia dan abang serta adiknya (juga di tuisyen sama) beraya di Johor. Actually, emak dan ayah diorang nie dah bercerai dan mereka tiga beradik telah dijaga oleh untie diorang yang selalu menjenguk dirumah yang dibelikan oleh emak diorang. Tapi, emak diorang berhijrah ke China setelah berkahwin dengan warga asing dan ayah diorang pula bekerja di Langkawi.
Aku bertanya kepada 'N', tak beraya dengan mak ke?. N memberitahu yang emak diorang tak balik dan ayah pun sama. Dia juga memberitahuku yang ayahnya sudah lama tak menjenguk mereka. Jelas kelihatan wajah N berubah sedih bila aku bertanya. Kasihan sangat bila melihatnya. Kemudian, aku terus mengubah topik bertanya tentang raya kepada seorang lagi studentku.
Persoalan yang hendak aku utarakan di sini ialah, mengapa bila berlaku perceraian, ramai anak-anak diabaikan? Baik oleh ayah ataupun ibu serta oleh kedua-dua mereka juga?. Memang bukan semua ibu bapa yang bercerai bersikap begini cuma segelintir sahaja tapi, tidakkah segelintir ibu bapa yang bersikap demikian berfikir tentang kebajikan anak-anak mereka itu selepas mereka bercerai?
Kesan perceraian sebenarnya lebih dirasai oleh anak-anak berbanding oleh ibu bapa. Mana taknya, kadang emosi anak-anak yang sedang membesar akan terjejas akibat perceraian ibu bapa mereka. Pada usia yang masih di bawah umur, anak-anak memerlukan lebih kasih-sayang dan juga perhatian daripada ibu bapa mereka.
Aku menyeru kepada ibu bapa di luar sana, jangan jadikan perceraian sebagai penghalang untuk anak-anak terus mendapatkan kasih-sayang anda berdua. Jagalah kebajikan anak-anak dan jangan diabaikan hak mereka sebagai anak daripada ibu bapa mereka.
Sekian.

Tuesday, September 21, 2010

Mencari Semangat yang Hilang

Mencari semangat yang hilang..semangat sekembalinya dari kampung. Rasa-rasanya separuh jiwaku masih lagi berada di kampung..mana taknya. Lebih kurang seminggu cuti tapi rasa macam sekejap saja masa berlalu. Mungkin sebab lama sangat tak balik menjenguk kampung halaman kot. Kadang bukan tak mau balik tapi kalau setakat cuti hujung minggu je, lupakanlah nak balik. Mana taknya, perjalanan balik saja dah dekat 8 jam. Belum sempat hilang lenguh naik bas ataupun kematu dalam kereta hilang dah nak balik ke KL,,ermm...
Walaupun aku jarang balik ke kampung, aku selalu telefon ma aku kat kampung untuk meng'update' berita-berita terkini lagi sensasi yang berlaku di kampungku. Tapi paling banyak berita yang aku dan adik-beradik aku 'update' dengan ma ialah berkaitan kambing-kambing belaan ma aku. Antara dialog-dialog aku dan ma dalam versi kelate..hehe
Aku: Assalamualaikum ma.
Ma: Waalaikumussalam...
Aku: Sihat ko belako, ma?
Ma: Sihat belako...
Aku: Ayah tak balik ko?
Ma: Ayah mu baru tubik marin..
Aku: Bla..bla...bla...
Ma: Bla...bla..bla..
Aku: Kambing ma brapo ekor doh loni?
Ma: Ado la dalam 16 ekor..tu pun ma jual doh 2 3 ekor..
Aku: Bakpo ma jualnyo?
Ma: Oloh...x cekakla (larat) nak heret ramai-ramainyo...
Aku: Bla..bla..bla..
Ma: Bla...bla..bla..
Erm,,,sian jugak kat ma nak mengheret kambing-kambing beliau yang pelbagai ragam tu..hehe. Tapi nasib baik kambing-kambing ditambat berdekatan rumah je. So, takdelah ma jauh sangat nak mengheret kambing-kambing tu..
Sekian...wassalam..

Tuesday, September 7, 2010

Semarak Aidilfitri

(sekadar gambar hiasan)

Sedar tak sedar rupanya Aidilfitri mula menjengah tirai Ramadhan. Terasa begitu cepat masa beredar sekarang nie. Pejam celik-pejam celik, lagi dua hari kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Rasa teruja sangat nak balik kampung beraya. Almaklumlah, sudah lama aku tak balik kampung. Rindu sangat kat ayah, ma,adik2 yang kat kampung,ayam-ayam serta kambing-kambing belaan ma.

Biasanya,,sebaik je aku serta abang-abang,kakak dan juga adikku yang kat nilai sampai kat halaman rumah..ayah,ma serta adik-adikku yang kat kampung dah menunggu kat laman menyambut ketibaan kami. Lepas tu, kadang belum sempat naik umah terus aku tawaf dulu kat sekeliling umah melihat tanaman-tanaman ma aku, tengok-tengok kambing ma yang makin membiak..Best sangat. Belum campur kalau anak buahku yang dua orang balik jugak, kakak dan adik,,diorang lagi la...suka sangat dengan kambing-kambing nenek diorang tu. Sekarang bertambah lagi seorang anak buah tapi hero lak, baby Afiq. Nasib baik yang hero nie belum boleh berjalan lagi, kalau tak...habislah kambing-kambing nenek diorang dikerjakan..

Cuma tahun nie agak semput sikit aku balik raya. Mana taknya, kitorang akan bertolak sama ada lepas sahur ataupun dalam pukul 3 pagi khamis nanti..harap2, perjalanan kami nanti takdelah jam teruk. Aku berharap warga kelantan yang berada di perantauan dah bertolak balik awal-awal lagi so takdelah jam sangat-sangat masa kami balik nanti..hehe. Bukan apa,,naik kematu rasa punggungku berada dalam kereta lama sangat. Normal pun dah 7 ke 8 jam, kalau jammed lagilah...kadang kesian kat anak-anak buah. Yelah, lagikan aku yang dah dewasa nie pun rasa kejang duk lama, budak-budak lagilah.

Teringat masa balik Raya Haji 2 tahun yang lepas, jam gila sampaikan 14 jam baru sampai umah..ramai pulak warga kelantan balik kampung sambut Raya Haji tahun tu. Paling kesian anak buahku Adik, masa tu dia umur dia dalam 3 tahun yang menangis-nangis sebab lapar nasi..yang paling aku sedih bila aku bagi roti dia taknak then dia cakap, nak nasi..huhu. Tulah, kenangan balik raya yang agak menyedihkan sikit bagiku..aku sayang sangat anak-anak buah ku yang comel-comel tu..

Mungkin ini pengajaran untuk kami semua supaya siapkan la bekalan kalau ada budak-budak kecil. Bukan apa, kadang kedai-kedai banyak tak buka sepanjang jalan sebab bukan puasa kan. Lagi pula, bila jam 'driver' pun malas nak singgah sebab nanti nak masuk line pulak payah sebab orang kedekut nak bagi masuk. Takpelah, masak sendiri lagi puas hati kan..

p/s; semoga Allah merahmati perjalanan kami nanti.Amin.

Tuesday, August 24, 2010

Kerja..Kerja,.Kerja...

Agak sibuk sikit kebelakangan nie...hujung bulan nie kena closing akaun sebab nak audit so kena siapkan sume dokumen-dokumen yang seantero untuk dihantar ke Audit Firm. So, sekarang nie tengah berusaha melengkapkan akaun-akaun. Agak kepenatan juga sebab lepas habis kerja, pukul 8 malam tergesa-gesa nak ke pusat tuisyen pulak. Biasalah,,dah sape suruh buat dua kerja kan...Redha jelah..
Tapi aku tak pernah menyesal pun buat dua kerja..lagipun balik rumah awalnya tak ada benda sangat pun nak dibuat. Sekurang-kurangnya, boleh la jugak menjana ekonomi tambahan untukku membeli apa-apa yang patut dan juga menyimpan seringgit dua..
Bagiku,,tekad perlu ada kalau nak buat kerja part time nie..yelah,,kadang ada sesetengah orang malas nak buat sebab dah rasa penat kerja 9-5 so lepas kerjalah masa untuk merehat-rehatkan badan dan juga berkumpul dengan keluarga. Bagi yang dah berkeluarga mungkin part time nie x sesuai sangat sebab yelah, bila masa lak nak bergurau senda dengan isteri dan anak-anak kalau lepas kerja terus pergi kerja lain pulak.
Oleh kerana statusku yang masih lagi anak dara so aku fikir kenapa tidak aku buat part time kat pusat tuisyen. Lagipun, takde lah lama sangat pun mengajar cuma 1 jam 1/2 je dan aku hanya buat malam isnin sampai malam rabu je..so,,takdelah penat sangat pun..sampai sekarang Alhamdulillah aku masih boleh bertahan lagi.
Lagipun,,dapat pahala apa memberikan ilmu kepada orang lain. Lagi satu yang aku suka bila mengajar sebab macam-macam perangai student-student aku nie..biasalah,,budak-budak lagi so macam-macam ragam la kan..
Time almost finish to update my blog,,I need to continue my works..salam ramadhan..

p/s; live in peacefully to get Allah Bless...

Monday, August 9, 2010

Kegigihan Sang Rama-rama

Rama-rama, makhluk Allah yang terkenal dengan kecantikan sayapnya yang berwarna -warni yang membuatkan kita terpesona akan keindahannya itu. Aku pun suka sangat pada serangga yang cantik ini. Tersergam indah apabila sayapnya dibuka. Sungguh cantik. hidupnya.

Namun disebalik kecantikan dan kelembutan yang dimilikinya, tersembunyi kegigihan yang sebati dengannya. Kegigihan dalam meneruskan nasib sebelum diri berubah menjadi haiwan yang dipuji-puji kerana kecantikannya.



Daripada seekor beluncas yang boleh membuatkan kita berasa geli-geleman apabila tersentuh dengannya. Beluncas ini akan terus makan daun-daun pokok kerana selepas itu ianya akan berhibernasi dalam bentuk kepompong selama bebarapa ketika. Sebelum ianya bertukar menjadi haiwan yang cantik, pelbagai rintangan terpaksa dihadapi olehnya lebih-lebih lagi semasa menjadi kepompong. Banyak ancaman dan dugaan yang sentiasa mendatanginya. Ancaman daripada angin yang kuat, hujan lebat malahan juga daripada binatang-binatang lain serta kita sendiri iaitu manusia. Namun, kepompong ini terus bertahan walaupun digasak dengan pelbagai dugaan. Kerana baginya, hanya dengan semangat yang kental sahaja mampu menyelamatkan spesis mereka.

Dan....selepas berhempas-pulas mengharungi cabaran di dalam perjuangan nasibnya antara hidup dan mati, terlahirlah suatu makluk yang begitu cantik ciptaanNya. Itulah kegigihan yang dimiliki oleh Sang Rama-Rama.

Alangkah baiknya jikalau kita manusia, yang telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t dengan tubuh badan yang sempurna memiliki semangat sekental makhluk Allah yang kerdil ini. Namun kadang-kadang kita sebagai manusia, mudah berputus-asa walaupun hanya diuji dengan ujian yang tidak sebesar manapun. Mudah menyerah kalah sebelum berjuang lagi.

p/s; sama-samalah kita renung untuk memperbaiki diri kita semua. Insyaallah.