Wednesday, November 10, 2010

Stigma Yang Perlu Diubah..

Assalamualaikum untuk diriku dan juga kepada yang singgah di blogku ini. Blog? Tidak dinafikan blog adalah hak peribadi kita tapi kita juga perlu ada etika dalam menulis blog kita. Ada sesetengah orang berpendapat, "blog aku so aku punya pasal lah nak tulis apa yang aku nak!". Jadi mereka menggunakan blog mereka untuk menghina ataupun juga menghentam orang lain mahupun kawan dalam blog tersebut.
Kenapa perlu ada stigma begitu? Tidak dinafikan itu blog mereka tapi sepatutnya janganlah disalahgunakan. Tidak terfikirkah bagaimana perasaan kawan apabila membaca blog mereka yang sebenarnya menceritakan keburukan kawan tersebut!. Menulis secara online membuatkan sesiapa sahaja boleh membaca apa yang kita tulis di dalam blog kita. Jadi, fikirkan apa pandangan orang lain terhadap kita apabila sering dihadapkan dengan cerita tentang keburukan orang lain sahaja di dalam blog kita? Apa guna memberitahu umum kewujudan blog jika di dalamnya diisi dengan cerita tentang keburukan orang?
Kita sepatutnya peka akan etika-etika yang perlu kita ambil kira semasa menulis di blog antaranya;
  • Jangan menghina sesuatu kaum, bangsa ataupun agama.
  • Jangan menulis tentang sesuatu isu yang sensitif yang boleh mencetuskan permusuhan.
  • Jangan menggunakan blog untuk menyebarkan pornographi.
  • Jangan memplagiat hasil kerja orang lain.
  • Menyebarkan maklumat yang betul kepada umum.
  • Jangan menggunakan blog untuk memburukkan orang lain.

Sepatutnya, kita menulis sesuatu yang boleh memberikan manfaat baik kepada diri kita sendiri mahupun kepada sesiapa jua yang membaca di blog kita. Sekurang-kurangnya kita mendapat pahala menyampaikan sesuatu ilmu. Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang bukan sahaja memberi manfaat kepada diri sendiri tetapi juga kepada orang lain.

Apa guna kita menjadikan blog semata-mata untuk menceritakan tentang keburukan sesuatu ataupun orang lain? Tidakkah ini memberikan persepsi negatif orang lain terhadap kita? Orang yang bijak dapat menilai seseorang hanya dari pembacaan sahaja walaupun tidak bersua. Sepatutnya, perkara ini tidak diambil mudah ataupun diperlekehkan.

Hentikan stigma 'Ini blog aku, aku bebas menulis apa yang aku nak tulis!' Gunakanlah blog anda untuk menyalurkan sesuatu ilmu ataupun maklumat yang berguna kepada masyarakat dan bukan kisah-kisah yang tidak sepatutnya dijaja.

p/s: semoga kita semua lebih berhati-hati di masa akan datang dan juga lebih sensitif akan sesuatu isu.

With love,,,,