Monday, December 27, 2010

Chayuk Skuad Malaysia..U are the BEST!!


Tahniah kepada pemain skuad kebangsaan yang telah bertungkus-lumus menentang Indonesia 26 Disember 2010. Ternyata skuad kebangsaan telah melakukan yang terbaik bagi memastikan kejuaraan pada malam tadi berpihak kepada Malaysia. Aksi-aksi yang cukup bertenaga yang dipamerkan oleh semua pemain kebangsaan harus dipuji. Bagiku sendiri, walaupun sekadar menyaksikan di depan kaca televisyen di rumah bersama seorang kawan amat mengujakan sekali. Apatah lagi bila pelbagai asakan dan cubaan untuk menjaringkan gol di pihak pemain kita tidak membuahkan hasil pada separuh masa pertama.

Namun aku tetap tidak berganjak dan tetap setia di depan kaca televisyen untuk menyaksikan skuad kebangsaan terus beraksi untuk separuh masa yang kedua. Dan ternyata gol kegembiraan pertama telah dihadiahkan oleh Mohd Safee Sali hasil hantaran yang begitu cantik daripada pengantin baru Norshahrul Idlan Talaha. Apalagi, bersorak bagai nak rak aku dengan kawan aku sebaik sahaja gol dijaringkan. Ternyata kontroversi yang dicetuskan oleh penjaga gol Indonesia, Markus, yang mendakwa matanya disuluh dengan laser tidak menjejaskan rentak permainan pasukan kebangsaan.


Aku bukanlah peminat bola sepak sangat tetapi jikalau ianya melibatkan pasukan negara aku pasti takkan ketinggalan untuk menonton dan mengikuti perlawanan tersebut. Aku bukanlah arif sangat dalam permainan bola sepak nie maklumlah perempuan tetapi perlawanan semalam banyak menyerlahkan kehebatan pasukan kebangsaan berbanding pasukan Indonesia. Gol kedua yang dijaringkan oleh Mohd Ashari Samsuddin makin memberikan harapan kepada 70,000 penyokong Malaysia yang berada di stadium dan juga puluhan ribu lagi yang menonton di rumah maupun dikedai-kedai mamak!

Semangat berpasukan yang ditunjukkan oleh para pemain kebangsaan juga sangat tinggi demi memastikan kejuaran menjadi milik kita. Dan ternyata, sekali lagi Mohd Safee Sali menghadiahkan gol ketiga kepada Malaysia telah membuatkan pertahanan skuad Indonesia semakin goyah dan memberikan tekanan kepada penjaga gol meraka. Amat jelas riak tertekan pada raut penjaga gol Indonesia.

Dan sebagai rakyat Malaysia, aku amat berbangga dengan pencapaian skuad kebangsaan. Semoga aksi yang lebih bertenaga akan dipamerkan untuk menentang Indonesia sekali lagi di negara jiran itu. Semoga kejuaraan sekali lagi akan berpihak kepada pasukan Malaysia mudah-mudahan. Insyaallah.