
Manusia sekarang sudah terhakis nilai kemanusiaan dalam diri. Mana taknya, sejak kebelakangan ini semakin banyak kes-kes jenayah yang dilaporkan di dada-dada akhbar. Dan jenayah kejam yang paling terkini ialah pembunuhan jutawan kosmetik terkenal iaitu Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu yang lain. Berdasarkan kes tersebut juga menghubungkan pihak berkuasa kepada kes-kes yang terdahulu yang berhubungkait dengan penjenayah yang sama. Ini hanya segelintir daripada kes-kes yang membabitkan pembunuhan kejam di negara kita. Mengapa masih ada manusia-manusia kejam dalam negara Malaysia yang yang aman damai ini?
Apa nak jadi dengan dunia sekarang? Pembunuh tersebut bukanlah calang-calang orang. Orang yang menjadi dalang adalah seorang peguam! Secara otomatik menjelaskan bahawa pembunuh tersebut adalah seorang yang berpelajaran tinggi serta dari golongan terpelajar. Tapi mengapa mereka terlibat dalam jenayah yang kejam seperti itu?
Merujuk kepada artikel dalam Harian Metro bertarikh 24hb September 2010 di mana Penasihat Psikiatri Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur iaitu Dr Daniel Zainal Abdul Rahman menghuraikan punca si bijak pandai menjadi pembunuh. Antara puncanya ialah disebabkan oleh kecelaruan personaliti yang lebih dikenali sebagai psikopatik ataupun sosiopatik.
Biasanya golongan psikopatik atau sosiopatik lebih banyak memanipulasi orang di sekeliling mereka untuk melakukan jenayah bagi pihak mereka serta cekap dalam penipuan. Dalam erti kata lain, mereka menjadi dalang atau 'mastermind' dalam sesebuah jenayah. Dengan perwatakan yang menarik serta pandai dalam percakapan menjadikan golongan ini mudah mendapat kepercayaan orang. Secara tidak langsung, memudahkan mereka untuk mempergunakan orang disekeliling mereka yang telah mempercayai bahawa mereka orang yang baik.
Menurut Penasihat Psikiatri tersebut juga menyatakan terdapat dua faktor utama yang mendorong golongan tersebut melakukan jenayah iaitu faktor genetik dan juga alam sekeliling. Ini disebabkan oleh otak yang dimiliki oleh golongan psikopatik atau sosiopatik berbeza dengan otak orang normal kerana jumlah bahan kimia yang mengawal mental, emosi dan riak pergerakan tidak seimbang. Oleh yang demikian, disebabkan kerosakan pada struktur fizikal urat saraf mereka serta ditambah dengan keadaan alam sekeliling contohnya sering terdedah dengan keganasan di dalam keluarga seperti melihat ayah yang sering melakukan keganasan terhadap ibu mereka sehingga membawa ke alam dewasa. Jadi golongan begini berpendapat keganasan terhadap wanita adalah perkara yang biasa.
Inilah antara punca-punca yang menyebabkan berlakunya jenayah-jenayah kejam seperti yang berlaku akhir-akhir ini yang kebanyakan melibatkan si bijak. Sebenarnya, fenomena jenayah kejam boleh kita bendung sedikit sebanyak. Antaranya ialah bermula dari institusi kekeluargaan sendiri di mana ianya haruslah utuh serta harmoni. Para ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak ke arah menjadi insan yang sihat fizikal serta emosinya lebih-lebih lagi. Kasih-sayang serta didikan agama yang mencukupi perlulah dipupuk di dalam keluarga agar anak-anak yang membesar menjadi insan yang kebal dari anasir-anasir yang boleh menjatuhkan mereka di masa hadapan.
Selain itu, faktor luaran juga memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah diri kita terutamanya golongan kanak-kanak dan remaja yang sedang membesar. Cerita-cerita yang memaparkan jenayah-jenayah ekstrem di kaca televisyen perlulah dikurangkan serta ditapis oleh pihak berwajib. Penggiat-penggiat industri perfileman haruslah peka terhadap kesan sampingan daripada filem-filem serta drama-drama mereka. Ini kerana, golongan yang sedang membesar mudah terpengaruh dengan cerita-cerita yang dipaparkan. Seeloknya, cerita-cerita yang membabitkan jenayah-jenayah ekstrem haruslah dikurangkan.
Ini secara tidak langsung dapat melahirkan individu yang mepunyai fikiran yang sihat serta seimbang dalam percaturan mereka. Sedikit-sebanyak dapat membantu mengurangkan kadar jenayah yang melibatkan kecelaruan emosi serta identiti.
p/s: Jadikan institusi keluarga yang utuh sebagai titik permulaan sebuah kehidupan serta untuk membangunkan jati diri insan supaya lebih berjiwa sihat.