Tuesday, October 12, 2010

Bila nak Berubah.....

Terkedu sejenak bila membaca berita di Harian Metro semalam tentang kemalangan dahsyat yang mengorbankan 12 orang termasuk pemandu bas ekspress yang dikatakan dipandu laju. Setiap hari ada saja kemalangan yang berlaku, tak kiralah sama ada yang melibatkan motosikal,kereta, treler, ataupun bas baik yang membawa maut ataupun sebaliknya.
Kenapa saban hari kita asyik dihadapkan dengan kes-kes kemalangan sahaja? Tidak sah kalau sehari bila membaca surat khabar tidak ada berita tentang kemalangan. Bila la senario nie akan berubah? Tidak dinafikan yang ajal maut semuanya Allah yang tentukan tapi kadang ianya juga berpunca daripada sikap segelintir kita sendiri.
Semua orang ingin cepat sampai ke destinasi yang dituju masing-masing tapi kita juga harus ingat bahawa dalam hendak cepat kita juga mestilah mengamalkan sikap yang berhemah di jalan raya. Kita tidak seharusnya menjadi orang yang pentingkan diri sendiri apabila berada di jalan raya. Buat apa kita memandu terlampau laju untuk sampai ke destinasi bila mana tempat yang hendak dituju tidak kesampaian malahan mengorbankan nyawa sendiri serta orang lain yang tidak bersalah?
Bila diperhatikan, kebanyakan kemalangan yang membabitkan bas ekspress adalah berpunca daripada sikap pemandu itu sendiri. Tidakkah pemandu-pemandu bas ekspress itu sedar yang mereka sebenarnya memikul amanah puluhan orang yang mempertaruhkan keselamatan mereka ketika mengambil tempat duduk di dalam bas yang dipandu mereka? Tidak terdetikkah di dalam hati mereka yang mereka untuk memastikan setiap penumpang yang mereka bawa tiba ke destinasi dengan selamat? Bukan semua pemandu-pemandu bas ekspress yang cuai dalam melaksanakan tugas mereka namun kebanyakan yang berlaku adalah disebabkan kecuaian mereka sendiri.
Sudah menjadi lumrah kita apabila telah terjadi tragedi yang tidak diingini mulalah timbul untuk mengetatkan penguatkuasaan dan bermacam-macam lagi. Tetapi hakikatnya seperti hangat-hangat tahi ayam sahaja. Hanya bersungguh apabila dihadapkan dengan tragedi-tragedi yang begitu menyayat hati tetapi kemudian senyap. Apabila tiba musim perayaan, pelbagai kempen keselamatan dijalankan tetapi apabila berakhirnya sesebuah perayaan, berakhirlah juga kempen tersebut.
Seharusnya, kempen-kempen keselamatan yang selalunya dimainkan semasa musim perayaan diteruskan. Ini kerana, lumrah manusia hanya beringat ketika timbul kesedaran melalui kempen-kempen yang disiarkan dan akan terleka apabila ianya dihentikan. Pendek kata, kebanyakan kita seperti paku yang perlu sentiasa diketuk untuk tersedar. Agensi-agensi yang terlibat juga perlu memainkan peranan dalam menguasakan undang-undang lebih-lebih lagi terhadap kenderaan-kenderaan berat yang berada di jalan raya.
Semoga, kita semua mengambil iktibar daripada tragedi yang berlaku.

With Love,,,,