Monday, December 27, 2010

Chayuk Skuad Malaysia..U are the BEST!!


Tahniah kepada pemain skuad kebangsaan yang telah bertungkus-lumus menentang Indonesia 26 Disember 2010. Ternyata skuad kebangsaan telah melakukan yang terbaik bagi memastikan kejuaraan pada malam tadi berpihak kepada Malaysia. Aksi-aksi yang cukup bertenaga yang dipamerkan oleh semua pemain kebangsaan harus dipuji. Bagiku sendiri, walaupun sekadar menyaksikan di depan kaca televisyen di rumah bersama seorang kawan amat mengujakan sekali. Apatah lagi bila pelbagai asakan dan cubaan untuk menjaringkan gol di pihak pemain kita tidak membuahkan hasil pada separuh masa pertama.

Namun aku tetap tidak berganjak dan tetap setia di depan kaca televisyen untuk menyaksikan skuad kebangsaan terus beraksi untuk separuh masa yang kedua. Dan ternyata gol kegembiraan pertama telah dihadiahkan oleh Mohd Safee Sali hasil hantaran yang begitu cantik daripada pengantin baru Norshahrul Idlan Talaha. Apalagi, bersorak bagai nak rak aku dengan kawan aku sebaik sahaja gol dijaringkan. Ternyata kontroversi yang dicetuskan oleh penjaga gol Indonesia, Markus, yang mendakwa matanya disuluh dengan laser tidak menjejaskan rentak permainan pasukan kebangsaan.


Aku bukanlah peminat bola sepak sangat tetapi jikalau ianya melibatkan pasukan negara aku pasti takkan ketinggalan untuk menonton dan mengikuti perlawanan tersebut. Aku bukanlah arif sangat dalam permainan bola sepak nie maklumlah perempuan tetapi perlawanan semalam banyak menyerlahkan kehebatan pasukan kebangsaan berbanding pasukan Indonesia. Gol kedua yang dijaringkan oleh Mohd Ashari Samsuddin makin memberikan harapan kepada 70,000 penyokong Malaysia yang berada di stadium dan juga puluhan ribu lagi yang menonton di rumah maupun dikedai-kedai mamak!

Semangat berpasukan yang ditunjukkan oleh para pemain kebangsaan juga sangat tinggi demi memastikan kejuaran menjadi milik kita. Dan ternyata, sekali lagi Mohd Safee Sali menghadiahkan gol ketiga kepada Malaysia telah membuatkan pertahanan skuad Indonesia semakin goyah dan memberikan tekanan kepada penjaga gol meraka. Amat jelas riak tertekan pada raut penjaga gol Indonesia.

Dan sebagai rakyat Malaysia, aku amat berbangga dengan pencapaian skuad kebangsaan. Semoga aksi yang lebih bertenaga akan dipamerkan untuk menentang Indonesia sekali lagi di negara jiran itu. Semoga kejuaraan sekali lagi akan berpihak kepada pasukan Malaysia mudah-mudahan. Insyaallah.

Tuesday, December 7, 2010

Salam Maal Hijrah 1432H

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua..Salam Maal Hijrah kepada kaum muslimin di luar sana. Tidak sedar rupanya Tahun Baru Islam telah menjenguk kita semua. Terasa begitu cepatnya masa yang berputar. Terkadang membuatkan kita terfikir, apa yang telah kita lakukan sebelum-sebelum itu? Apa kebaikan yang telah kita lakukan terhadap diri kita, keluarga mahupun orang-orang disekeliling kita? Apa pencapaian yang telah kita capai untuk memajukan diri kita? Dan adakah kita telah melakukan anjakan paradigma dalam tempoh setahun yang telah berlalu?
Alhamdulillah, jika kita telah melakukan perubahan pada kehidupan kita yang telah berlalu tersebut. Ini bermakna, kita telah melakukan satu anjakan paradigma terhadap diri kita serta kepada keluarga kita sendiri. Tapi, jika kita merasakan kehidupan kita sebelum nie sama sahaja dan tiada apa-apa perubahan pun yang kita lakukan untuk memperbaikinya, masih belum terlambat untuk kita mengubahnya. Apa yang penting, kita berusaha dan berazam untuk mencapai apa yang kita telah azamkan. Asalkan apa yang kita azamkan munasabah dan juga boleh kita capai..'it must be reasonable and also achievable'. Yelah kan, mestilah munasabah dan boleh dicapai. Macam contoh, seseorang hanya bekerja sebagai penghantar surat tetapi berazam untuk membeli kereta BMW 5 Series..OMG! Dah sahlah tidak mampu dicapai kan? Bukan la menidakkan tapi nak buat azam pun mestilah mengikut kemampuan diri serta keupayaan diri juga kan..
Bagiku sendiri, semoga kehadiran tahun baru kali ini memberikanku peluang untuk memperbaiki diri semoga menjadi insan yang lebih baik dari tahun sebelum nie. Menjadi HambaNya yang lebih tawadduk dan diredhai, menjadi anak yang taat, menjadi adik yang patuh, menjadi kakak yang bertimbang-rasa, menjadi makcik yang penyayang, menjadi kawan yang memahami dan sentiasa menjadi seorang yang setia dan jujur dalam sesuatu perhubungan. Semoga perhubungan yang terjalin mendapat keredhaan dari-Nya. Itu yang paling penting.
Apa pun yang penting, semoga kita semua mendapat keberkatan dan keredhaanNya untuk memulakan perjalanan tahun baru dalam kehidupan yang sementara ini. Amin..
with love....

Thursday, December 2, 2010

Pantasnya.....

Pantasnya? Yup...pantasnya waktu yang berlalu. Waktu seakan-akan tidak mencukupi bagi kita..Kalau kita ada kuasa, aku pasti semua kita akan menggunakan kuasa itu untuk memutarkan kembali waktu-waktu yang telah berlalu. Tapi, itu semua hanyalah khayalan yang memang mustahil bagi kita manusia.
Waktu sentiasa menghambat kita dan sentiasa mengejar kita walau di mana kita berada sekalipun. Sebab itulah ada pepatah yang berbunyi 'masa itu emas'. Betul tu, memang tepat pepatah orang-orang lama. Sememangnya masa itu lebih berharga daripada emas ataupun apa jua bentuk material yang ada..Cuba bayangkan, jikalau kita kaya ataupun jutawan sekalipun apalah gunanya lagi kalau Allah telah menarik balik nikmat kesihatan yang mana ketika kita sihat walfiat kita telah mengabaikannnya? Semasa kita diberikan kesempatan oleh Pemilik kita yang Abadi supaya menjaga kesihatan tetapi kita telah alpa pada nikmat yang amat penting itu. Dan apabila diuji dengan ditarik balik nikmat yang tidak ternilai itu, barulah kita sedar yang betapa menyesalnya kita kerana telah mensia-siakan waktu yang diberikan untuk menjalankan dan menjaga apa yang patut kita jaga.
Dan aku yakin, sekaya manapun seseorang pasti akan berfikir 'kalaulah aku dapat kembali ke masa lalu, aku pasti akan menjaga kesihatanku, memperbanyakkan amalan-amalan baik dan sebagainya'. Memanglah kalau kaya boleh dapat semua yang diinginkan tetapi bukan semua benda dapat kita peroleh dengan kekayaan yang ada.
Kekayaan yang ada tidak dapat membeli waktu-waktu yang telah berlalu pergi meninggalkan kita. Kita takkan mampu memanggilnya kembali kepada kita walau sekuat manapun kita menjerit memanggilnya. Apa yang mampu kita buat hanyalah berfikir apa yang perlu kita lakukan pada masa sekarang supaya kita tidak mengulangi kesilapan yang sama pada waktu yang telah berlalu itu.
Biarlah hari semalam menjadi sejarah dan hargailah hari ini supaya kita boleh melakar kejayaan pada hari esok..
With Love,,,