Wednesday, September 22, 2010

Ke Mana Hilangnya Nilai Keperimanusiaan?



Manusia sekarang sudah terhakis nilai kemanusiaan dalam diri. Mana taknya, sejak kebelakangan ini semakin banyak kes-kes jenayah yang dilaporkan di dada-dada akhbar. Dan jenayah kejam yang paling terkini ialah pembunuhan jutawan kosmetik terkenal iaitu Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu yang lain. Berdasarkan kes tersebut juga menghubungkan pihak berkuasa kepada kes-kes yang terdahulu yang berhubungkait dengan penjenayah yang sama. Ini hanya segelintir daripada kes-kes yang membabitkan pembunuhan kejam di negara kita. Mengapa masih ada manusia-manusia kejam dalam negara Malaysia yang yang aman damai ini?

Apa nak jadi dengan dunia sekarang? Pembunuh tersebut bukanlah calang-calang orang. Orang yang menjadi dalang adalah seorang peguam! Secara otomatik menjelaskan bahawa pembunuh tersebut adalah seorang yang berpelajaran tinggi serta dari golongan terpelajar. Tapi mengapa mereka terlibat dalam jenayah yang kejam seperti itu?

Merujuk kepada artikel dalam Harian Metro bertarikh 24hb September 2010 di mana Penasihat Psikiatri Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur iaitu Dr Daniel Zainal Abdul Rahman menghuraikan punca si bijak pandai menjadi pembunuh. Antara puncanya ialah disebabkan oleh kecelaruan personaliti yang lebih dikenali sebagai psikopatik ataupun sosiopatik.

Biasanya golongan psikopatik atau sosiopatik lebih banyak memanipulasi orang di sekeliling mereka untuk melakukan jenayah bagi pihak mereka serta cekap dalam penipuan. Dalam erti kata lain, mereka menjadi dalang atau 'mastermind' dalam sesebuah jenayah. Dengan perwatakan yang menarik serta pandai dalam percakapan menjadikan golongan ini mudah mendapat kepercayaan orang. Secara tidak langsung, memudahkan mereka untuk mempergunakan orang disekeliling mereka yang telah mempercayai bahawa mereka orang yang baik.

Menurut Penasihat Psikiatri tersebut juga menyatakan terdapat dua faktor utama yang mendorong golongan tersebut melakukan jenayah iaitu faktor genetik dan juga alam sekeliling. Ini disebabkan oleh otak yang dimiliki oleh golongan psikopatik atau sosiopatik berbeza dengan otak orang normal kerana jumlah bahan kimia yang mengawal mental, emosi dan riak pergerakan tidak seimbang. Oleh yang demikian, disebabkan kerosakan pada struktur fizikal urat saraf mereka serta ditambah dengan keadaan alam sekeliling contohnya sering terdedah dengan keganasan di dalam keluarga seperti melihat ayah yang sering melakukan keganasan terhadap ibu mereka sehingga membawa ke alam dewasa. Jadi golongan begini berpendapat keganasan terhadap wanita adalah perkara yang biasa.

Inilah antara punca-punca yang menyebabkan berlakunya jenayah-jenayah kejam seperti yang berlaku akhir-akhir ini yang kebanyakan melibatkan si bijak. Sebenarnya, fenomena jenayah kejam boleh kita bendung sedikit sebanyak. Antaranya ialah bermula dari institusi kekeluargaan sendiri di mana ianya haruslah utuh serta harmoni. Para ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak ke arah menjadi insan yang sihat fizikal serta emosinya lebih-lebih lagi. Kasih-sayang serta didikan agama yang mencukupi perlulah dipupuk di dalam keluarga agar anak-anak yang membesar menjadi insan yang kebal dari anasir-anasir yang boleh menjatuhkan mereka di masa hadapan.

Selain itu, faktor luaran juga memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah diri kita terutamanya golongan kanak-kanak dan remaja yang sedang membesar. Cerita-cerita yang memaparkan jenayah-jenayah ekstrem di kaca televisyen perlulah dikurangkan serta ditapis oleh pihak berwajib. Penggiat-penggiat industri perfileman haruslah peka terhadap kesan sampingan daripada filem-filem serta drama-drama mereka. Ini kerana, golongan yang sedang membesar mudah terpengaruh dengan cerita-cerita yang dipaparkan. Seeloknya, cerita-cerita yang membabitkan jenayah-jenayah ekstrem haruslah dikurangkan.

Ini secara tidak langsung dapat melahirkan individu yang mepunyai fikiran yang sihat serta seimbang dalam percaturan mereka. Sedikit-sebanyak dapat membantu mengurangkan kadar jenayah yang melibatkan kecelaruan emosi serta identiti.

p/s: Jadikan institusi keluarga yang utuh sebagai titik permulaan sebuah kehidupan serta untuk membangunkan jati diri insan supaya lebih berjiwa sihat.

Mengapa Anak-Anak Diabaikan??

Assalamualaikum untuk diriku dan sesiapa yang sudi melawat blogku yang tak seberapa ini. Sekadar ingin berkongsi cerita tentang student tuisyenku. Alkisahnya..malam tadi aku ada kelas Bahasa Melayu dengan studentku, standard 4 dan 5.
Sekadar membuka bicara aku bertanyakan khabar kepada 2 orang student lelaki yang datang awal. Aku memulakan bicara bertanya pada pada studentku yang kunamakan sebagai 'N'. N memberitahu dia dan abang serta adiknya (juga di tuisyen sama) beraya di Johor. Actually, emak dan ayah diorang nie dah bercerai dan mereka tiga beradik telah dijaga oleh untie diorang yang selalu menjenguk dirumah yang dibelikan oleh emak diorang. Tapi, emak diorang berhijrah ke China setelah berkahwin dengan warga asing dan ayah diorang pula bekerja di Langkawi.
Aku bertanya kepada 'N', tak beraya dengan mak ke?. N memberitahu yang emak diorang tak balik dan ayah pun sama. Dia juga memberitahuku yang ayahnya sudah lama tak menjenguk mereka. Jelas kelihatan wajah N berubah sedih bila aku bertanya. Kasihan sangat bila melihatnya. Kemudian, aku terus mengubah topik bertanya tentang raya kepada seorang lagi studentku.
Persoalan yang hendak aku utarakan di sini ialah, mengapa bila berlaku perceraian, ramai anak-anak diabaikan? Baik oleh ayah ataupun ibu serta oleh kedua-dua mereka juga?. Memang bukan semua ibu bapa yang bercerai bersikap begini cuma segelintir sahaja tapi, tidakkah segelintir ibu bapa yang bersikap demikian berfikir tentang kebajikan anak-anak mereka itu selepas mereka bercerai?
Kesan perceraian sebenarnya lebih dirasai oleh anak-anak berbanding oleh ibu bapa. Mana taknya, kadang emosi anak-anak yang sedang membesar akan terjejas akibat perceraian ibu bapa mereka. Pada usia yang masih di bawah umur, anak-anak memerlukan lebih kasih-sayang dan juga perhatian daripada ibu bapa mereka.
Aku menyeru kepada ibu bapa di luar sana, jangan jadikan perceraian sebagai penghalang untuk anak-anak terus mendapatkan kasih-sayang anda berdua. Jagalah kebajikan anak-anak dan jangan diabaikan hak mereka sebagai anak daripada ibu bapa mereka.
Sekian.