Dua hari lepas, masyarakat dunia dikejutkan dengan video yang sangat menyayat hati sesiapa yang melihatnya. Video tentang seorang kanak-kanak perempuan berumur 2 tahun di China yang hanya dibiarkan terbaring di atas jalan setelah dilanggar serta dilenyek oleh sebuah van dan kemudian sekali lagi oleh sebuah lori.
Masyaallah, menitis air mataku melihat video yang tragis begitu dan dapatku bayangkan betapa terseksanya kanak-kanak itu menahan kesakitan yang bukan sedikit. Sedih yang teramat sangat melihat tubuh yang kecil terbaring tanpa diberikan bantuan oleh manusia-manusia yang lalu-lalang di situ. Di mana sifat kemanusiaan yang sepatutnya ada dalam diri kita sebagai manusia? Kalau haiwan yang tidak mempunyai akal pun tahu erti kasih sayang, bagaimana dengan kita, manusia yang diberikan akal fikiran?
Tiadakah rasa belas kasihan terhadap si kecil yang comel yang sedang dalam kesakitan itu? Walaupun mungkin si kecil itu tiada pertalian persaudaraan sekalipun, apa salahnya mereka menghulurkan bantuan atas dasar peri-kemanusiaan. Tidakkah mereka yang hanya melihat tanpa menghulurkan bantuan itu terfikir andai suatu hari perkara sebegitu terjadi kepada mereka ataupun ahli keluarga mereka sendiri? Semalam, dengarnya si kecil itu telah menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Dan belum reda dengan kisah yang menyayat hati itu, kita sekali lagi dikejutkan pula dengan kes bayi yang baru lahir yang dikelar di badan hingga terkeluar usus bayi yang tidak berdosa itu. Paling sedih bila ianya berlaku di negara kita sendiri yang dilakukan oleh manusia yang tidak berhati-perut! Seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun sanggup membunuh bayi yang dilahirkan dengan mengelar tubuh bayi tersebut disebabkan oleh teman lelakinya tidak mahu bertanggungjawab serta menerima bayi tersebut.
Ya Allah, kenapa kejam sangat manusia sekarang? Sudah la berdosa kerana berzina, kemudian ditambah lagi dosa membunuh bayi yang langsung tidak berdosa itu. Kenapa ramai manusia sekarang yang makin hilang sifat peri-kemanusiaan? Kenapa begitu kejam membunuh bayi yang sempurna sifatnya yang masih hidup dengan cara yang amat zalim? Kenapa tidak bagi saja bayi yang dilahirkan itu kepada badan-badan kebajikan ataupun individu-individu yang sudi menjaga bayi tersebut? Mungkin perempuan itu menyangka yang dengan membunuh bayinya dapat menutup dosa yang dilakukan. Tetapi dia lupa yang Allah itu maha adil, dosa yang ingin dia tutup dengan membuat dosa sekali itulah yang menjeratnya.
Semoga mereka-mereka yang berhati kejam ini mendapat balasan dan hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka.
With Love,
~Sal~
No comments:
Post a Comment