Saturday, February 26, 2011

Airmata Seorang Wanita


Wanita memang sinonim dikaitkan dengan airmata dan suka menangis. Memang betul pun. Dan sebagai seorang wanita aku juga merasakan begitu. Jarang sangat lah seorang wanita ataupun perempuan tidak sensitif perasaannya lebih-lebih lagi bila ianya melibatkan seseorang yang istimewa dalam hidup kita. Memang jarang sangat ada wanita yang berhati kering kalau ada pun mesti yang lebih bersifat kelakian ataupun tomboy? Mungkin...
Menangis salah satu cara seseorang wanita mengekspresikan perasaan mereka. Perasaan yang terluka, kecewa, sedih, marah dan juga untuk melembutkan hati pasangan mereka. Tahu-tahu sajalah, lelaki kadang-kadang kasar sifatnya dan kurang sensitif akan perasaan seorang wanita. Dan apabila wanita menangis dan mengalirkan airmata mulalah cakap suka menangis dan merajuk! Padahal, kaum lelaki yang tidak pandai menjaga hati. Bercakap ikut keluar dari mulut yang kadang-kadang mengguris perasaan.
Mungkin kaum lelaki tidak bermaksud apa-apa daripada percakapan kasar tersebut tetapi apa salahnya ubah sedikit cara percakapan antara kawan dengan isteri ataupun kekasih mereka kan? Janganlah menganggap kaum wanita boleh menerima cara percakapan kasar mereka dengan kawan-kawan terhadap wanita juga. Wanita yang sensitif termasuk diriku sendiri mudah terguris perasaan dengan percakapan yang kasar. Mungkin apabila berhadapan dengan kawan-kawan yang suka bercakap kasar dan agak lepas, perasaan terguris dipendamkan sebab tidak mahu menyinngung perasaan mereka jika meluahkan rasa tidak suka akan sikap mereka. Tetapi, apabila melibatkan percintaan sukar untuk memendam rasa terguris tersebut dan akhirnya gugur airmata a.k.a menangis!
Cuma pesananku sebagai seorang wanita yang sememangnya sensitif perasaan terhadap kaum lelaki yang ada diluar sana yang ada terbaca nukilanku ini, jagalah perasaan seorang wanita. Kaum wanita halus perasaannya dan sensitif jiwanya. Bercakaplah dengan kami dengan nada yang berpatutan. Jikalau ada silap yang dilakukan, tegurlah dengan cara yang elok bukan dengan memarahi kami secara tidak bertempat. Tidak salah marah, tetapi biarlah dengan perkataan yang elok bukannya yang bukan-bukan.
With Love...

Wednesday, February 9, 2011

PJJ a.k.a Percintaan Jarak Jauh


Setiap orang mesti mempunyai keinginan untuk mencintai dan juga dicintai kan? Mustahil la tidak ada orang yang berperasaan begini kan? Kalau ada pun mesti ada sesuatu yang tidak kena pada individu tersebut. Betul tak?

Kadang-kadang, ada sesetengah orang tidak gemar bercinta bila pasangan masing-masing berjauhan. Bak kata pujangga seorang di kutub utara dan seorang lagi di kutub selatan. Memang tersangatlah memerlukan pengorbanan. Sebab itulah kot ramai yang gemar bercinta dengan pasangan yang tinggal di tempat yang sama supaya bila tiba hari minggu boleh keluar bersama-sama.

Kalau sewaktu belajar dahulu baik di sekolah ataupun universiti, ramai kawan-kawan yang seangkatan denganku bercinta dengan rakan sekelas kadang tidak pun dengan senior-senior. Alasannya dengan bercinta satu kelas ataupun sekolah boleh menjadi pembakar semangat untuk berjaya. Sesetengah orang mungkin macam tu tapi ramai pula yang bila bercinta sampai lupa pelajaran.

Oh,ya! Berbalik kepada entry ku seperti di atas, Percintaan Jarak Jauh ataupun PJJ (ala2 Pengajian Jarak Jauh gitu..hehe). Pada pendapatku banyak kebaikannya bila bercinta jarak jauh nie. Yang paling utama kita boleh mengelakkan dari melalukan perkara-perkara yang tidak elok. Maklumlah orang bercinta nie kadang terleka dan sering alpa akan hukum-hukum agama. Jadi bila bercinta jarak jauh nie sekurang-kurangnya perkara begini boleh dielakkan. Yelah, berjumpa pun mesti jarang-jarang. Dalam setahun mungkin dua ataupun tiga kali kot.


Tapi tulah, Percintaan Jarak Jauh nie memang memerlukan kesetiaan, kepercayaan dan juga kejujuran. Tidak dinafikan ketiga-tiga elemen ini sangat penting dalam sesebuah perhubungan tetapi lagi penting dalam Percintaan Jarak Jauh nie. Manakan tidak, masing-masing saling berjauhan dan tidak tahu apa yang pasangan kita lakukan. Jadi hanya kesetiaan, kepercayaan dan kejujuran lah yang menjadi penyambung dalam perhubungan tersebut. Jadi jikalau elemen-elemen tersebut tiada dalam perhubungan apa lagi yang tinggal untuk meneruskannya..


Setiap elemen itu memainkan peranan masing-masing dalam Percintaan Jarak Jauh seperti kesetiaan yang mengajar kita untuk tetap setia kepada pasangan walaupun jarang bersua. Kepercayaan pula menjadi titik tolak perhubungan kerana apabila masing-masing percaya secara automatik kesetiaan dan juga kejujuran akan diraih. Melalui kejujuran pula akan mewujudkan sikap saling memahami antara satu sama lain tanpa curiga-mencurigai. Dengan itu, walaupun jarak memisahkan tetapi semua itu tidak akan menjadi halangan untuk terus mengekalkan perhubungan yang ada..


Walaupun kita menghargai cinta kita dalam cara yang berbeza tetapi elemen yang kita semai dalam perhubungan tersebut tetap sama...


With Love...

Monday, December 27, 2010

Chayuk Skuad Malaysia..U are the BEST!!


Tahniah kepada pemain skuad kebangsaan yang telah bertungkus-lumus menentang Indonesia 26 Disember 2010. Ternyata skuad kebangsaan telah melakukan yang terbaik bagi memastikan kejuaraan pada malam tadi berpihak kepada Malaysia. Aksi-aksi yang cukup bertenaga yang dipamerkan oleh semua pemain kebangsaan harus dipuji. Bagiku sendiri, walaupun sekadar menyaksikan di depan kaca televisyen di rumah bersama seorang kawan amat mengujakan sekali. Apatah lagi bila pelbagai asakan dan cubaan untuk menjaringkan gol di pihak pemain kita tidak membuahkan hasil pada separuh masa pertama.

Namun aku tetap tidak berganjak dan tetap setia di depan kaca televisyen untuk menyaksikan skuad kebangsaan terus beraksi untuk separuh masa yang kedua. Dan ternyata gol kegembiraan pertama telah dihadiahkan oleh Mohd Safee Sali hasil hantaran yang begitu cantik daripada pengantin baru Norshahrul Idlan Talaha. Apalagi, bersorak bagai nak rak aku dengan kawan aku sebaik sahaja gol dijaringkan. Ternyata kontroversi yang dicetuskan oleh penjaga gol Indonesia, Markus, yang mendakwa matanya disuluh dengan laser tidak menjejaskan rentak permainan pasukan kebangsaan.


Aku bukanlah peminat bola sepak sangat tetapi jikalau ianya melibatkan pasukan negara aku pasti takkan ketinggalan untuk menonton dan mengikuti perlawanan tersebut. Aku bukanlah arif sangat dalam permainan bola sepak nie maklumlah perempuan tetapi perlawanan semalam banyak menyerlahkan kehebatan pasukan kebangsaan berbanding pasukan Indonesia. Gol kedua yang dijaringkan oleh Mohd Ashari Samsuddin makin memberikan harapan kepada 70,000 penyokong Malaysia yang berada di stadium dan juga puluhan ribu lagi yang menonton di rumah maupun dikedai-kedai mamak!

Semangat berpasukan yang ditunjukkan oleh para pemain kebangsaan juga sangat tinggi demi memastikan kejuaran menjadi milik kita. Dan ternyata, sekali lagi Mohd Safee Sali menghadiahkan gol ketiga kepada Malaysia telah membuatkan pertahanan skuad Indonesia semakin goyah dan memberikan tekanan kepada penjaga gol meraka. Amat jelas riak tertekan pada raut penjaga gol Indonesia.

Dan sebagai rakyat Malaysia, aku amat berbangga dengan pencapaian skuad kebangsaan. Semoga aksi yang lebih bertenaga akan dipamerkan untuk menentang Indonesia sekali lagi di negara jiran itu. Semoga kejuaraan sekali lagi akan berpihak kepada pasukan Malaysia mudah-mudahan. Insyaallah.

Tuesday, December 7, 2010

Salam Maal Hijrah 1432H

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua..Salam Maal Hijrah kepada kaum muslimin di luar sana. Tidak sedar rupanya Tahun Baru Islam telah menjenguk kita semua. Terasa begitu cepatnya masa yang berputar. Terkadang membuatkan kita terfikir, apa yang telah kita lakukan sebelum-sebelum itu? Apa kebaikan yang telah kita lakukan terhadap diri kita, keluarga mahupun orang-orang disekeliling kita? Apa pencapaian yang telah kita capai untuk memajukan diri kita? Dan adakah kita telah melakukan anjakan paradigma dalam tempoh setahun yang telah berlalu?
Alhamdulillah, jika kita telah melakukan perubahan pada kehidupan kita yang telah berlalu tersebut. Ini bermakna, kita telah melakukan satu anjakan paradigma terhadap diri kita serta kepada keluarga kita sendiri. Tapi, jika kita merasakan kehidupan kita sebelum nie sama sahaja dan tiada apa-apa perubahan pun yang kita lakukan untuk memperbaikinya, masih belum terlambat untuk kita mengubahnya. Apa yang penting, kita berusaha dan berazam untuk mencapai apa yang kita telah azamkan. Asalkan apa yang kita azamkan munasabah dan juga boleh kita capai..'it must be reasonable and also achievable'. Yelah kan, mestilah munasabah dan boleh dicapai. Macam contoh, seseorang hanya bekerja sebagai penghantar surat tetapi berazam untuk membeli kereta BMW 5 Series..OMG! Dah sahlah tidak mampu dicapai kan? Bukan la menidakkan tapi nak buat azam pun mestilah mengikut kemampuan diri serta keupayaan diri juga kan..
Bagiku sendiri, semoga kehadiran tahun baru kali ini memberikanku peluang untuk memperbaiki diri semoga menjadi insan yang lebih baik dari tahun sebelum nie. Menjadi HambaNya yang lebih tawadduk dan diredhai, menjadi anak yang taat, menjadi adik yang patuh, menjadi kakak yang bertimbang-rasa, menjadi makcik yang penyayang, menjadi kawan yang memahami dan sentiasa menjadi seorang yang setia dan jujur dalam sesuatu perhubungan. Semoga perhubungan yang terjalin mendapat keredhaan dari-Nya. Itu yang paling penting.
Apa pun yang penting, semoga kita semua mendapat keberkatan dan keredhaanNya untuk memulakan perjalanan tahun baru dalam kehidupan yang sementara ini. Amin..
with love....

Thursday, December 2, 2010

Pantasnya.....

Pantasnya? Yup...pantasnya waktu yang berlalu. Waktu seakan-akan tidak mencukupi bagi kita..Kalau kita ada kuasa, aku pasti semua kita akan menggunakan kuasa itu untuk memutarkan kembali waktu-waktu yang telah berlalu. Tapi, itu semua hanyalah khayalan yang memang mustahil bagi kita manusia.
Waktu sentiasa menghambat kita dan sentiasa mengejar kita walau di mana kita berada sekalipun. Sebab itulah ada pepatah yang berbunyi 'masa itu emas'. Betul tu, memang tepat pepatah orang-orang lama. Sememangnya masa itu lebih berharga daripada emas ataupun apa jua bentuk material yang ada..Cuba bayangkan, jikalau kita kaya ataupun jutawan sekalipun apalah gunanya lagi kalau Allah telah menarik balik nikmat kesihatan yang mana ketika kita sihat walfiat kita telah mengabaikannnya? Semasa kita diberikan kesempatan oleh Pemilik kita yang Abadi supaya menjaga kesihatan tetapi kita telah alpa pada nikmat yang amat penting itu. Dan apabila diuji dengan ditarik balik nikmat yang tidak ternilai itu, barulah kita sedar yang betapa menyesalnya kita kerana telah mensia-siakan waktu yang diberikan untuk menjalankan dan menjaga apa yang patut kita jaga.
Dan aku yakin, sekaya manapun seseorang pasti akan berfikir 'kalaulah aku dapat kembali ke masa lalu, aku pasti akan menjaga kesihatanku, memperbanyakkan amalan-amalan baik dan sebagainya'. Memanglah kalau kaya boleh dapat semua yang diinginkan tetapi bukan semua benda dapat kita peroleh dengan kekayaan yang ada.
Kekayaan yang ada tidak dapat membeli waktu-waktu yang telah berlalu pergi meninggalkan kita. Kita takkan mampu memanggilnya kembali kepada kita walau sekuat manapun kita menjerit memanggilnya. Apa yang mampu kita buat hanyalah berfikir apa yang perlu kita lakukan pada masa sekarang supaya kita tidak mengulangi kesilapan yang sama pada waktu yang telah berlalu itu.
Biarlah hari semalam menjadi sejarah dan hargailah hari ini supaya kita boleh melakar kejayaan pada hari esok..
With Love,,,

Thursday, November 11, 2010

Mari Belajar Bahasa Isyarat

Salam...
Pernah tak anda semua terfikir 'alangkah bagusnya kalau kita pandai bahasa isyarat?'. Mudah untuk kita berkomunikasi dengan orang yang kurang upaya. Kadang, kita terasa hendak berkomunikasi dengan golongan istimewa ini tetapi disebabkan oleh kekurangan ilmu komunikasi dengan mereka membantutkan niat kita.

Masa aku tengah tengok-tengok 'Tagged' aku tadi, aku tertarik dengan satu profil lelaki nie so aku bukalah tengok profil dia dan alhamdulillah aku terjumpa kod isyarat yang aku rasa apa salahnya aku kongsikan di sini. Sekurang-kurangnya kita boleh belajar serba sedikit bahasa isyarat untuk menambahkan pengetahuan kita semua. Manalah tau, ada daripada kaum keluarga kita ataupun kawan-kawan kita yang kurang upaya yang tidak boleh bercakap jadi dengan pengetahuan yang diperolehi serba sedikit dapat membantu kita memahami golongan tersebut kan..lagipun, tak salah pun kita belajar sesuatu yang baru jikalau ianya bermanfaat. So, mari sama-sama kita belajar...Jom..

with love,,,,

Wednesday, November 10, 2010

Stigma Yang Perlu Diubah..

Assalamualaikum untuk diriku dan juga kepada yang singgah di blogku ini. Blog? Tidak dinafikan blog adalah hak peribadi kita tapi kita juga perlu ada etika dalam menulis blog kita. Ada sesetengah orang berpendapat, "blog aku so aku punya pasal lah nak tulis apa yang aku nak!". Jadi mereka menggunakan blog mereka untuk menghina ataupun juga menghentam orang lain mahupun kawan dalam blog tersebut.
Kenapa perlu ada stigma begitu? Tidak dinafikan itu blog mereka tapi sepatutnya janganlah disalahgunakan. Tidak terfikirkah bagaimana perasaan kawan apabila membaca blog mereka yang sebenarnya menceritakan keburukan kawan tersebut!. Menulis secara online membuatkan sesiapa sahaja boleh membaca apa yang kita tulis di dalam blog kita. Jadi, fikirkan apa pandangan orang lain terhadap kita apabila sering dihadapkan dengan cerita tentang keburukan orang lain sahaja di dalam blog kita? Apa guna memberitahu umum kewujudan blog jika di dalamnya diisi dengan cerita tentang keburukan orang?
Kita sepatutnya peka akan etika-etika yang perlu kita ambil kira semasa menulis di blog antaranya;
  • Jangan menghina sesuatu kaum, bangsa ataupun agama.
  • Jangan menulis tentang sesuatu isu yang sensitif yang boleh mencetuskan permusuhan.
  • Jangan menggunakan blog untuk menyebarkan pornographi.
  • Jangan memplagiat hasil kerja orang lain.
  • Menyebarkan maklumat yang betul kepada umum.
  • Jangan menggunakan blog untuk memburukkan orang lain.

Sepatutnya, kita menulis sesuatu yang boleh memberikan manfaat baik kepada diri kita sendiri mahupun kepada sesiapa jua yang membaca di blog kita. Sekurang-kurangnya kita mendapat pahala menyampaikan sesuatu ilmu. Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang bukan sahaja memberi manfaat kepada diri sendiri tetapi juga kepada orang lain.

Apa guna kita menjadikan blog semata-mata untuk menceritakan tentang keburukan sesuatu ataupun orang lain? Tidakkah ini memberikan persepsi negatif orang lain terhadap kita? Orang yang bijak dapat menilai seseorang hanya dari pembacaan sahaja walaupun tidak bersua. Sepatutnya, perkara ini tidak diambil mudah ataupun diperlekehkan.

Hentikan stigma 'Ini blog aku, aku bebas menulis apa yang aku nak tulis!' Gunakanlah blog anda untuk menyalurkan sesuatu ilmu ataupun maklumat yang berguna kepada masyarakat dan bukan kisah-kisah yang tidak sepatutnya dijaja.

p/s: semoga kita semua lebih berhati-hati di masa akan datang dan juga lebih sensitif akan sesuatu isu.

With love,,,,